Pengenalan
Congkak Lubang Sepuluh juga dinamakan Congkak Lubang Dua Puluh. Pada masa dahulu, kanak-kanak selalunya memakai kain sarung semasa bermain permainan ini. Kelaziman ini adalah untuk membolehkan buah-buah getah yang telah dipungut disimpan dalam kain sarung tersebut. Permainan in dinamakan congkak lubang sepuluh kerana jumlah lubang anak ialah sepuluh rumah bagi sebuah kampung. Permainan ini bertujuan menguji kebijaksanaan pemainnya.
Tempat
Dimainkan di atas tanah yang keras bagi memudahkan lubang dibentuk atau dengan menggunakan papan congkak. Tanah keras juga membolehkan agar bentuk lubang menjadi lebih menarik dan kukuh. Selalunya lubang anak berjejari lebih kurang 5cm dan lubang ibu berjejari lebih kurang 8cm. Setiap satu kampung terdiri daripada sepuluh buah rumah anak dan satu rumah ibu. Setiap pemain memerlukan 100 biji buah dan setiap lubang anak memerlukan sepuluh biji buah.
Peralatan
Biji getah, batu-batu kecil, guli kaca, buah gerek dan sebagainya boleh digunakan sebagai buah.
Pemain
Dimainkan oleh kanak-kanak perempuan atau lelaki. Jumlah pemain bagi satu satu permainan ialah 2 orang.
Langkah-langkah Permainan
Pemain akan mula serentak apabila permainan dimulakan. Mereka hendaklah mengambil kesemua buah di mana-mana rumah anak di dalam kampungnya sahaja. Buah permainan kemudian diatur pada setiap rumah anak yang dilaluinya termasuk rumah anak pihak lawan. Pemain juga perlu memasukkan buah ke dalam rumah ibunya kecuali rumah ibu lawan.
Sekiranya buah terakhir jatuh ke dalam rumah anak yang mempunyai buah, pemain boleh meneruskan permainannya dengan mengambil kesemua buah di dalam rumah anak berkenaan. Permainan harus dihentikan seketika jika buah untuk kedua-dua pemain telah habis di rumah kosong.
Jika buah salah seorang pemain habis pada rumah anak yang kosong, pemain itu dapat mengambil kesemua buah di dalam rumah anak lawan yang bertentangan sahaja. Hal ini dikatakan pemain tersebut telah berjaya menikam buah pihak lawan. Permainan seterusnya dimulakan dengan pusingan pertama. Pemain yang mati awal, jalan dahulu. Pihak lawan tidak dapat jalan selagi pemain tidak menamatkan permainannya dengan menikam buah lawan atau mati. Semasa bermain, sekiranya buah terakhir mati di rumah ibu, pemain tersebut dapat meneruskan permainan seperti biasa.
Permainan diteruskan sehingga kedua-dua pemain kehabisan buah. Pusingan ke-2 dimulakan dengan menyusun kembali buah-buah yang ada di dalam rumah ibu ke dalam rumah anak. Bagi rumah anak yang tidak mencukupi buah, dianggap terbakar dan tidak dapat digunakan di dalam pusingan ke-2. Pusingan ke-2 diteruskan mengikut cara yang sama sehingga tamat. Pemenang ditentukan mengikut jumlah buah yang dapat dikumpul.
Rujukan: Shamsul Anuar H.N. & Ahmad Shahar H.N. (2005). Siri Panduanan Permainan Tradisional Kanak-Kanak. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Post a Comment