Cerita ini bermula pada zaman masyarakat Hokkien dan Hakka sedang bertempur antara satu sama lain. Pada suatu hari, masyarakat Hokkien telah pergi ke hutan tebu untuk menyembunyikan diri daripada serangan Hakka. (Terdapat juga beberapa orang wanita kaya di dalam kumpulan yang melarikan diri ini. Wanita Hokkien pada zaman dahulu perlu mengikat kedua-dua kaki mereka dengan pakaian lama ketika masih muda dengan tujuan untuk menghalang kaki mereka menjadi besar. Wanita Hokkien pada waktu itu percaya bahawa kaki yang lebih kecil akan menjadikan mereka lebih menarik dan besar kemungkinan mereka akan dapat berkahwin dengan orang kaya di masa depan. Oleh sebab kaki mereka terlalu kecil, para wanita yang turut melarikan diri ke padang tebu mengalami kesulitan untuk berjalan dengan sempurna).
Apabila tiba hari pertama perayaan Tahun Baru Cina, masyarakat Hokkien ini tidak dapat merayakan Tahun Baru Cina kerana mereka perlu terus bersembunyi di dalam hutan. Semasa di dalam pesembunyian, hanya tebu menjadi makanan juga minuman mereka. Pada hari kesembilan tahun baru, pertempuran itu berakhir dan mereka pun keluar dari tempat persembunyian mereka dan merayakan tahun baru mereka dengan gembira.
Sejak hari itu, masyarakat Hokkien menganggap hari mereka berjaya melepaskan diri ialah hari pertama tahun baru Cina mereka. Sehingga hari ini, orang Hokkien masih bersembahyang kepada Tuhan mereka yang membantu mereka pada hari itu dan menamakan Tuhan itu sebagai Thi Kong. Tebu menjadi persembahan sebagai penghargaan mereka kepada Thi Kong. Hal ini kerana, tebu telah membantu mereka dapat bertahan semasa tempoh yang sukar itu.
Post a Comment